Pernahkan anda bermuhasabah atau
menilai dan menghitung kembali tentang amalan seharian. Kadang-kadang kita akan
dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut
dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah
dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain.
Perhatikan apa yang dipaparkan
dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri arwah beberapa
malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama,
kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan
oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak
makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia
makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka
yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta
anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang
belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul
urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa
bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi
makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak
berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil
untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin
negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik
di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak
berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah
orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan, malu-malu kucing kononnya
malu dan beradab, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa
yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai
tinggal makanan tak habis dah jadi budaya orang kita.
5. Kalau bersolat sunat di masjid
amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat
sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk
mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik
nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku
bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan
di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya
perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji,
kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila
balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya
ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak
bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? (Ini mesti ada
tujuan lain!!!).
8. Semua ibubapa amat bimbang
kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen
walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat,
tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas
mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu
pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20
kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita?
Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat
dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki
Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut
tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah
(masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.
Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan
diri padaNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar
rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau
duduk di rumah, masyaAllah, kain hamis berbau. Sedangkan yang dituntut
seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain.
Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita
menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut
selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan
peraturan hidup kita.
Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah
dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment