Friday 23 March 2012

Bolehkah orang berjunub dan wanita haid masuk masjid?

Terlalu banyak pendapat orang awam dalam mencari jawapan kepada permasalahan ini dan ada kadangkalanya membawa kepada pergaduhan dan perpecahan kerana masing-masing ingin menang dalam menegakkan pendapat sendiri.
Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 43: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Di sini jelas bahawa Allah melarang orang yang dalam keadaan junub yakni berhadas besar untuk masuk ke masjid sebelum mereka mandi hadas kecuali melalui atau melintas di dalamnya. Walaupun dalam ayat ini tidak dinyatakan ‘wanita haid’ secara khusus, namun haid adalah termasuk dalam kategori mereka yang berhadas besar dan tidak boleh menunaikan solat.
Di bawah pula ada beberapa hadith yang mahsyur di kalangan ulama’ yang membincangkannya.
1. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Aisyah r.a: Tolong ambilkan untukku selendang/serban yang berada di dalam masjid. Aisyah menjawab: Sekarang saya sedang haid. Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya haid bukan di tanganmu.
(H.R. Muslim, Ibnu Majah dan Baihaqi)
Dalam hadith ini telah menjadi kefahaman Aisyah bahawa wanita haid dilarang untuk memasuki masjid. Lalu Nabi s.a.w mengatakan kepada Aisyah bahawa haid itu bukan di berada di tangannya sehingga ia tidak boleh mengambil apa yang Nabi s.a.w mintakan dengan lalu dan singgah sebentar di dalam masjid.
2. Maimunah r.ha pernah berkata: Salah seorang dari kami pernah membawa sejadah ke masjid lalu membentangkannya, padahal dia sedang haid.
(H.R. An-Nasa`i, Dr. Mustopha Diibul Bigha, Fiqih Syafi’i (At-Tahdzib), hal 77)
Dalam hadith ini pula mengatakan ada seorang wanita yang sedang dalam haid masuk ke masjid dengan membawa sejadah untuk tujuan membentangkannya.
3. Dari Ummu Salamah r.ha, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan tidak juga bagi (wanita yang didatangi) haid.
(H.R. Ibn Majah, dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Thaharah wa Sunaniha, Bab berkenaan tegahan (wanita yang didatangi) haid dari masjid, hadith no: 645, Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (tahqiq: Hamdi ‘Abd Al-Majid; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn.), jld. 23, hadith no. 883)
Hadith di atas ni pula jelas mengatakan bahawa Nabi s.a.w melarang orang yang berjunub dan wanita yang sedang haid untuk masuk ke dalam masjid.
4. Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub.
(H.R. Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadith no: 220 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan orang junub yang memasuki masjid), H.R. Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 2001), perawi no: 1710 (Bab Alif: Aflat bin Khalifah), H.R. Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya (tahqiq: M. Musthafa al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996), hadith no: 600 (Kitab himpunan bab keutamaan masjid, Bab tegahan duduk bagi orang yang junub dan haid dalam masjid), H.R. Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (tahqiq: M. ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), hadith no: 4323 (Kitab al-Solat, Bab orang junub melalui masjid dan tidak berdiam di dalamnya).
Seperti maksud yang sama dalam hadith sebelumnya, ia masih mengatakan bahawa orang berjunub dan wanita haid tidak dihalalkan masuk ke dalam masjid.
5. Dari Aisyah r.ha: (Terdapat) seorang hamba wanita berkulit hitam milik satu kaum bangsa Arab yang mereka bebaskan dan dia tinggal bersama mereka. Hamba itu berkata: Satu ketika anak perempuan mereka keluar dengan memakai selendang merah yang dibuat dari kulit dan dihiasi dengan batu permata. Dia meletakkannya, atau terjatuh, sehingga terbanglah seekor burung sedangkan selendang tersebut terletak di atas tanah. Burung itu menganggap selendang tersebut adalah seketul daging lalu ia menyambarnya. Lalu (kemudian) mereka mencari selendang tersebut namun tidak menemuinya. Akhirnya mereka menuduh aku yang mengambilnya. Mereka mulai mencarinya sehingga memeriksa kemaluannya. Demi Allah! Sungguh aku masih berdiri di kalangan mereka sehingga tiba-tiba terbanglah burung itu dan melemparkan selendang tersebut. Selendang tersebut jatuh tepat di antara mereka. Lalu aku berkata: Inilah selendang yang kalian tuduh aku mengambilnya padahal aku bersih dari semua tuduhan itu dan inilah selendang tersebut. Maka aku datang kepada Rasulullah s.a.w dan masuk Islam. Aisyah berkata: Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa khemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid. Hamba itu biasa mendatangiku dan berbicara denganku. Dia tidak pernah duduk di hadapanku melainkan berkata: Dan hari selendang itu di antara keajaiban Tuhan kami, Ketahuilah! Dari negeri kafir Dia menyelamatkan aku. Aisyah berkata: Aku bertanya kepada dia, kenapa kamu tidak sekali pun duduk bersamaku kecuali mengucapkan sedemikian? Maka dia pun menceritakan kepadaku kisah di atas.
(H.R. Bukhari, Kitab al-Solat, Bab wanita yang tidur di dalam masjid, hadith no: 439)
Kisah di atas pula menceritakan tentang seorang wanita yang masuk Islam kemudian dibenarkan oleh Nabi s.a.w untuk dia tinggal di dalam masjid dalam beberapa lama sehingga didirikan khemah yang berbumbung untuknya. Jika wanita itu tinggal di dalam khemah tersebut, sudah pasti sewaktu haid juga dia akan berada di dalam kawasan masjid tetapi ianya hanya di dalam khemah atau rumahnya sahaja yang bukan menjadi tempat orang ramai solat.
6. Ummu ‘Athiyah r.ha berkata: Kami telah diperintahkan (oleh Nabi s.a.w) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: Atau wanita-wanita pingitan. (Ummu ‘Athiyah menyambung) dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (oleh Nabi s.a.w) agar menyaksikan jemaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi musholla.
(H.R. Bukhari, Kitab al-‘Iedain, Bab wanita haid tidak hadir di musholla, hadith no: 981)
Dalam hadith ni mengisahkan Nabi s.a.w memerintahkan supaya orang ramai solat Hari Raya di suatu kawasan lapang, dan kawasan lapang yang dijadikan tempat untuk menunaikan solat ini dipanggil musholla. Wanita-wanita haid dibenarkan dan diminta melihat dan mendengar solat dan dakwah yang disampaikan, namun tidak dibenarkan duduk atau diam tempat solat (musholla) serta menjauhinya.
Imam malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie mengatakan bahawa haram bagi orang yang junub diam di dalam masjid hingga dia mandi atau bertayammum jika tidak ada air atau tidak menggunakan air kerana sesuatu sebab. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir, 5/174)
Jumhur ulama, di antaranya imam mazhab yang empat, sepakat bahawa wanita yang haid tidak boleh berdiam (al-lubts) di dalam masjid, kerana ada hadith Nabi s.a.w yang mengharamkannya. (Muhammad bin Abdurrahman, Rohmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A’immah, hal 17)
———
Kesimpulan dari ayat Quran dan hadith-hadith yang ditunjukkan di atas ialah:
  1. Orang yang berjunub sama ada keluar mani atau haid tidak dibenarkan duduk atau diam di dalam masjid yakni tempat orang ramai menunaikan solat, kecuali melintasinya atau mempunyai hajat yang sebentar di dalamnya dan cepat-cepat keluar dari situ.
  2. Adapun masjid yang ada pada zaman kini mempunyai beranda, laluan pejalan kaki, ruang legar, kantin, bilik kuliyah atau pejabat yang duduk di bawah satu bumbung masjid, namun ia tidak dijadikan tempat untuk melakukan solat sama ada solat fardhu atau solat Jumaat, maka tempat itu dibenarkan untuk mereka yang berjunub dan wanita haid diam atau duduk di situ.

No comments:

Post a Comment